Kemenangan sudah hampir pasti, namun akhirnya Bayern Munich menangis di tempat sendiri. Chelsea dinobatkan sebagai juara Liga Juara-juara Eropah pagi tadi selepas merekodkan kemenangan 4-3 pada penentuan sepakan penalti yang mencatat keajaiban buat pasukan Liga Perdana Inggeris tersebut. Aksi perlawanan akhir yang cukup dramatik pagi tadi menyaksikan kedua-dua pasukan menjaringkan gol pada minit-minit akhir perlawanan.
Bermula dengan gol Bayern Munich pada minit ke-83 hasil tandukan Thomas Muller setelah menerima hantaran lintang rakan sepasukan Toni Kroos yang gagal dihalang Petr Cech meskipun berupaya membaca arah tandukan tersebut. Chelsea menyamakan kedudukan pada minit ke 85 setelah penyerang berpengalaman, Didier Drogba menanduk kemas sepakan sudut Juan Mata menuju gawang Bayern Munich. Kedudukan terikat 1-1 memaksa perlawanan ke masa tambahan yang ternyata banyak menghampakan Bayern Munich apabila terlepas tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol termasuk satu sepakan penalti Arjen Robben yang berjaya diselamatkan Petr Cech. Drama dua pasukan berterusan sehingga sepakan penalti dengan Chelsea bolos 3 sepakan pertama dan sepakan Juan Mata diselamatkan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer. Namun tuah ternyata menyebelahi The Blues apabila sepakan pemain Bayern, Ivica Olic diselamatkan Cech dan Bastien Scweinsteiger hanya setakat menggegar tiang gol. Didier Drogba menjadi hero Chelsea dengan menyumbat masuk sepakan penalti terakhir yang mengesahkan kemenangan Chelsea di Munich.
Kejuaraan Chelsea menjadi lebih bermakna tahun ini kerana haluan mereka untuk ke pusingan akhir, perlu diakui, bukan mudah. Semangat pasukan dan ketabahan menjadi azimat ampuh mereka dalam mengharungi liku perjalanan untuk menjadi juara. Keajaiban yang dicipta pada pusingan separuh akhir di Nou Camp apabila Chelsea menundukkan pasukan sensasi Eropah, Barcelona, walaupun terpaksa bermain tanpa kapten, John Terry manakala Catalans menguasai bola hampir 70% seolah-olah petanda awal kejuaraan mereka hari ini. Kehilangan tonggak utama pasukan seperti Terry dan Raul Meireles yang digantung pada perlawanan akhir terbukti bukan aral Chelsea untuk mengucup bangga trofi kemenangan pagi tadi.
No comments:
Post a Comment